Tahniah, Tan Sri Muhyiddin Yassin Bakal Dilantik Jadi PM-10, Dato Anwar Pula Kekal PM Tepi?

Kuala Lumpur: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin memperoleh jumlah sokongan mencukupi untuk dilantik Perdana Menteri ke-10.

Muhyiddin berkata, beliau sudah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada petang tadi.

“Saya telah melaporkan kepada Majlis Tertinggi PN bahawa saya mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pada pagi tadi berhubung pembentukan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum 15 (PRU-15).

Beliau telah memaklumkan kesediaan Ahli-Ahli Dewan Rakyat GPS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Menurut Muhyiddin, beliau juga mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor yang juga menyatakan kesediaan Ahli Dewan Rakyat GRS untuk memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya sebagai Perdana Menteri Ke-10.

“Beberapa orang Ahli Dewan Rakyat lain juga memberikan komitmen yang sama.

“Sebagai Pengerusi PN, saya berkeyakinan bahawa saya akan memperoleh bilangan sokongan mencukupi daripada Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan saya dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Ke-10 seperti mana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Gabungan PN, BN bersama blok Borneo GPS, GRS paling realistik – Penganalisis

Kuala Lumpur: Gabungan berteraskan parti politik Melayu dan Borneo dilihat lebih berpotensi untuk membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), dengan Perikatan Nasional (PN) mengetuai gabungan berkenaan.

Beberapa penganalisis politik percaya kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) bersama-sama Gabungan Parti Sarwak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Barisan Nasional (BN) adalah lebih realistik, berbanding pembentukan kerajaan yang diketuai Pakatan Harapan (PH).

Selain itu, mereka juga percaya kerajaan dianggotai PN yang memiliki 73 kerusi, serta BN (30), GPS (22) dan GRS (enam) adalah lebih stabil, dengan majoriti selesa 131 kerusi Parlimen.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, percaya pilihan itu lebih realistik kerana semua parti itu pernah bekerjasama membentuk kerajaan di bawah pimpinan dua Perdana Menteri, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, gabungan itu lebih mudah dibentuk membawa aspirasi yang sama dan berteraskan politik Melayu, berbanding gabungan kerajaan yang membabitkan PH.

“Namun, gabungan ini tetap bergantung pada penerimaan GPS dan GRS terhadap PAS yang mendominasi jumlah kerusi yang dimenangi PN.

“Jika parti Borneo boleh menepis stigma terhadap PAS yang dikaitkan dengan islamisasi dan sebagainya, gabungan PN, BN, GPS dan GRS pasti boleh membentuk kerajaan.

“PAS juga dilihat lebih terbuka untuk menerima BN atas faktor Muafakat Nasional (MN), dan BERSATU terpaksa akur jika itu kehendak PAS memandangkan PAS yang memiliki kerusi paling banyak dalam PN ketika ini,” katanya kepada BH, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Izani berpandangan, PAS perlu diberi lebih suara dalam menentukan bentuk gabungan kerajaan membabitkan PN, atas faktor penguasaan kukuh mereka dalam PRU-15.

“Walaupun dikatakan equal partner dalam PN, perlu ada ketua yang memimpin dalam gabungan itu dan kerajaan nanti, dan PAS wajar diberi mandat mengetuai kerajaan yang dibentuk nanti,” katanya.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir juga yakin gabungan PN, BN, GPS dan GRS yang akan membentuk kerajaan, khususnya selepas Muhyiddin sendiri mendedahkan rundingan dengan Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

“PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir pasti berputih mata dan gagal membentuk kerajaan walaupun mereka mencatat jumla kerusi lebih banyak berbanding PN dengan 82 kerusi Parlimen.

“Ramuan terbaik untuk kestabilan politik mesti membabitkan jumlah majoriti yang besar. Malah, gabungan PN, BN, GPS dan GRS mungkin turut disertai Pari Warisan (Warisan), yang sebelum ini menyatakan kesediaan menyokong mana-mana gabungan yang membentuk kerajaan,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan PH bekerjasama dengan GPS serta beberapa parti lain bagi mewujudkan kerajaan, Jeniri menegaskan ia hampir mustahil kerana permusuhan keras antara GPS dan DAP Sarawak.

“Apa pun, GPS akan menilai tawaran PH dan PN. Paling penting pastinya komitmen politik untuk memenuhi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

“Tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) juga perlu dilihat. Saya kira satu jawatan TPM memadai dalam situasi sekarang, dan ia wajar diberikan pada Sarawak berbanding Sabah,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, berpandangan GPS dan GRS menjadi penentu sama ada PH atau PN bakal mengetuai kerajaan baharu.

“Sama ada kerajaan diketuai PN atau PH yang akan dibentuk, bergantung pada komitmen dalam tawaran mereka. Misalnya, apa tawaran terbaik kepada GPS untuk membentuk kerajaan bersama.

“Tawaran ini perlu membabitkan kuasa sebenar, proses penurunan kuasa yang lebih baik, isu penyelesaian MA63, peruntukan lebih tinggi kepada kerajaan GPS di Sarawak, dan bagaimana situasi politik di negeri itu dikendalikan,” katanya.

Jika PH mahu bekerjasama dengan GPS, Awang Azman menegaskan PH perlu mencari jalan menguruskan hubungan antara DAP Sarawak dengan GPS.

About admin

Check Also

Baru Saja Dilantik Menteri Komunikasi Digital, Sekali Tweet YB Fahmi Buat Ramai Tak Senang

KUALA LUMPUR – Petang tadi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil memuatnaik ciapan di laman …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *