Bekas anggota Paskau rindu nak sarung baju celoreng, air mata jatuh di Hari Kebangsaan… Menyesal ambil dadah masa berkhidmat

PERKONGSIAN seorang pengguna TikTok yang merakamkan detik suaminya mengesat air mata sewaktu menyaksikan perarakan sempena Hari Kebangsaan di Padang Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan turut mengundang sebak netizen.

Daripada penerangan pada video tersebut, difahamkan suaminya itu merupakan salah seorang bekas anggota keselamatan negara namun terpaksa menamatkan perkhidmatan lebih awal.

“Bukan rezeki awak untuk terus berkhidmat untuk negara. Mungkin Allah dah aturkan rezeki awak di luar,” tulisnya.

 

Lihat siaran ini di Instagram

 

Siaran dikongsi oleh mStar (@mstaronlineofficial)

Lebih menambah sebak apabila wanita itu turut berharap agar anak mereka dapat mengikut jejak langkah bapanya menjadi seorang anggota tentera.

“Doakan apabila anak kita dah besar akan ambil tempat abah,” katanya lagi.

Susulan itu mStar menghubungi wanita bernama Farah Fadila Hasim, 32, dan suaminya Badrul Hisham bagi mendapatkan cerita di sebalik momen penuh emosi itu.

Rupa-rupanya Badrul merupakan bekas anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) unit Tempur Jarak Dekat (CQB), Tentera Udara Diraja Malaysia.

Dia pernah berkhidmat selama kira-kira 10 tahun dengan pangkat terakhir ialah laskar udara kanan (LUK).

Bagaimanapun Badrul diberhentikan perkhidmatan pada 2016 kerana penyalahgunaan dadah.

“Sepatutnya saya yang berada dalam kawad tu… saya masih sayang dan ingin meneruskan perkhidmatan sebagai tentera.

“Apa yang berlaku dahulu menyebabkan saya menyesal sekarang,” ujarnya dalam tangisan ketika dihubungi mStar.

Menceritakan detik hitam yang berlaku dalam sejarah hidupnya itu, dia yang kini berusia 33 tahun berkata, ia berpunca daripada salah laku disiplin ketika mengikuti operasi di Tawau, Sabah.

Sepatutnya saya yang berada dalam kawad tu… saya masih sayang dan ingin meneruskan perkhidmatan sebagai tentera.

“Ketika menyertai Op Pasir di Tawau, saya telah terjebak dengan salah guna dadah dan ia mengubah kehidupan saya sepenuhnya.

“Saya ikut operasi 2014 di Lahad Datu dan merupakan gerakan pertama yang pergi di bawah CQB… pada masa tu, operasi selama tiga bulan.

“Jadi terpaksa tinggal anak dan isteri untuk tempoh yang lama. Keadaan tertekan membuatkan saya terjebak dengan dadah,” imbasnya.

Menurut anak kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan itu lagi, dia ‘kantoi’ semasa saringan air kencing setibanya di Semenanjung selepas tamat operasi.

“Bagi pasukan tentera, mana-mana anggota yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah akan terus diberhentikan,” jelasnya yang sudah beberapa kali mengikuti operasi di Sabah.

Tragedi itu juga menjadi punca dia bercerai dengan isteri pertamanya.

Mengakui kehidupan sukar selepas diberhentikan, dia menyatakan terpaksa bermula daripada bawah kerana hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Namun, dia bersyukur kerana mengenali seorang wanita yang kini menjadi isterinya.

“Isteri baharu banyak membantu dan mengubah saya supaya menjadi insan lebih baik. Dia tidak jemu memberi dorongan dan sokongan sehingga saya berjaya bangkit semula.

“Kini, saya menjadi pengawal peribadi dengan menggunakan kemahiran serta pengalaman yang dimiliki,” luahnya.

Bagi isterinya Farah, dia mengetahui tentang sejarah silam suaminya itu dan sedia menerima seadanya.

“Saya tahu dia pernah buat kesilapan besar dalam hidup… bukan senang nak ubah orang untuk kebahagiaan dia.

“Kami kenal selepas suami berhenti dari TUDM, memang hidup dia susah dan hanya ada sebuah motosikal untuk kegunaan harian.

“Percintaan kami pun hanya satu bulan sebelum dia melamar saya selepas Hari Raya Aidilfitri pada 2017,” katanya.

Melihatkan perubahan yang berlaku, ibu kepada dua cahaya mata itu menarik nafas lega dan bersyukur dengan kehidupan yang dimiliki.

Tambahnya, bagi mengenangkan jasa dan khidmat bakti yang pernah dicurahkan suaminya suatu ketika dahulu, mereka sekeluarga akan menyaksikan perbarisan kemerdekaan setiap tahun.

Sehingga kini perkongsian Farah di TikTok menerima lebih 319,000 jumlah tontonan.

sumber:mstar

 

 

About admin

Check Also

Puteri Sarah Tak Rela Bermadu, Ulas Lakonan Jadi Isteri Tua Tiada Kena Mengena Dalam Hidup

Membawakan watak isteri pertama menerusi naskhah teater Maduku Terpaling Kalut, Puteri Sarah Liyana menegaskan karakter …

Leave a Reply

Your email address will not be published.